Kajian Keperluan

Untuk Warga SK Seri Beroleh penuhi maklumat Kajian Keperluan

Sunday, December 13, 2009

APA KATA DATUK SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN TENTANG ICT

PETKAN RENCANA DALAM UTUSAN MALAYSIA: 08 APRIL 2007.
ICT: Kita tidak boleh gagal
Mukadimah
SEPERTI diketahui umum, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah pun melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP)2006-2010 pada 16 Januari lalu.Ia bertujuan melonjakkan tahap kecemerlangan sekolah dan mengangkat imej sistem pendidikan negara di mata dunia. PIPP menggariskan enam teras strategik
bagi melahirkan modal insan yang cemerlang, produktif dan kreatif ke arah membantu
Misi Nasional menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
Enam teras itu ialah membina negara bangsa; membangunkan modal insan;
memperkasakan sekolah kebangsaan; merapatkan jurang pendidikan; memartabatkan
profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Bagi tujuan itu
fokus bulanan ditetapkan bagi menerangkan status projek dan program yang dirancang
dalam PIPP.
Dan memasuki bulan April ini, tumpuan kementerian ialah melaksanakan teras ketiga
iaitu memperkasa sekolah kebangsaan dalam konteks pembestarian sekolah dan inisiatif
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Bagi Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, beliau bersyukur kerana
telah melalui pelaksanaan dua teras utama dalam tempoh dua bulan sejak ia dilancarkan
termasuk Lonjakan Perdana Pendidikan luar bandar dan melonjakkan kecemerlangan
institusi pendidikan.
“Saya dapat lihat pegawai-pegawai saya memahami dengan jelas apa yang tertulis dalam
pelan induk dan sedang melaksanakannya,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia barubaru
ini.
Ditanya sama ada rentak beliau tidak terlalu laju dalam melaksanakan program ini, beliau
berkata:
DATUK SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN.
“Sebenarnya saya tidak ada cara yang lebih baik untuk mendalami PIPP ini selain dari
berusaha melaksanakan atau paling tidak terlibat dalam pelaksanaannya.”
Bagi Hishammuddin, melalui fokus bulanan ini, semua bahagian dapat bekerjasama
sebagai satu pasukan dan mereka semakin berkemampuan untuk mempakejkan produk
masing-masing sebagai satu pakej berdasarkan teras-teras dalam PIPP.
Mulai bulan ini, April, Kementerian Pelajaran melaksanakan program pembestarian
sekolah dan pemantapan serta penjenamaan semula 88 sekolah bestari di seluruh negara.
Ia bagi merealisasikan teras ketiga PIPP 2006-2010, iaitu memperkasa sekolah
kebangsaan.
MINGGUAN: Apakah tujuan di sebalik menetapkan fokus bulanan ini? Bolehkah Datuk
Seri jelaskan dalam konteks fokus bulan ini (April), iaitu program pembestarian sekolah?
HISHAMMUDDIN: Ia seperti serampang dua mata. Dari satu segi, ia untuk membantu
warga KPM dan orang ramai memahami teras-teras dalam PIPP, program dan projek
yang ada di dalam teras-teras tersebut dan status pelaksanaannya yang terkini. Dari segi
yang lain pula, ia membantu warga KPM agar tindakan mereka lebih berfokus,
mempunyai sasaran dan bertindak melaksanakan program-program ini dalam satu pakej
dengan segera dan tanpa berlengah-lengah lagi. Lebih-lebih lagi kerana kita perlu
melaporkan pelaksanaannya kepada Jemaah Menteri dari semasa ke semasa dan kepada
orang ramai dua kali setahun, bermula bulan Jun tahun ini.
Misalnya dalam bulan ini, kita akan memaklumkan kepada orang ramai tentang
pelaksanaan dua program utama iaitu pertamanya, program pembestarian sekolah dan
keduanya, usaha pemantapan dan penjenamaan semula 88 sekolah bestari.
Dalam bulan ini kita akan berusaha memberikan penjelasan kepada orang status
pelaksanaan kedua-dua program ini, sejauh mana ia telah dilaksanakan sejak bermulanya
Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sejauh mana kejayaan atau kekangan yang
dihadapi seterusnya langkah-langkah yang hendak diambil atau tindakan penambah
baikan yang perlu dilakukan sepanjang tempoh RMK-9 ini bagi memastikan matlamat
pelan induk pendidikan ini dapat dicapai.
Pada waktu yang sama, kita akan melaksanakan juga program-program yang telah kita
rancang seperti melaksanakan latihan kepada guru dalam ICT, mengadakan pusat akses
di sekolah-sekolah, membentuk kerjasama dengan pihak luar KPM bagi membantu
mempercepatkan proses pembestarian di sekolah-sekolah dan sebagainya.
Ini yang saya maksudkan bila saya katakan kita bukan sahaja menerangkan kepada rakyat
tapi juga melaksanakan segala program yang telah dirancang dalam PIPP.
Boleh Datuk Seri jelaskan kenapa ada dua program berbeza, pembestarian sekolah dan 88
buah sekolah bestari?
HISHAMMUDDIN: Dari segi takrifan, kita takrifkan program pembestarian sekolah
sebagai proses berterusan ke arah pembudayaan penggunaan ICT dalam pendidikan bagi
meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, keberkesanan pengurusan dan
pentadbiran sekolah serta kompetensi guru.
Program pembestarian sekolah melibatkan usaha melengkapkan semua sekolah KPM
dengan infrastruktur, perkakasan, perisian dan aplikasi, latihan guru serta program
pengurusan perubahan (change management) yang bersesuaian dan mencukupi.
Sewaktu saya mula berada di KPM, saya dapati inisiatif-inisiatif ICT di KPM ini begitu
banyak, tetapi dilaksanakan secara terpisah-pisah dan berasingan. Ada juga yang berada
di bawah tanggungjawab kementerian yang lain, seperti akses Internet jalur lebar,
makmal komputer dan sekolah bestari.
Kita sedia maklum bahawa KPM adalah sebuah kementerian yang besar. Sukar untuk
pegawai-pegawainya mengetahui setiap inci ruang di dalam kementerian ini. Apalagi
mereka yang berada di luar KPM. Kerana itu bila makmal komputer dibina, objektifnya
hanya untuk menyiapkan makmal, tetapi pihak luar mungkin tidak tahu ruang yang
dipunyai sekolah, sama ada bekalan elektrik ada atau tidak, sama ada guru terlatih atau
tidak dan sebagainya.
Akhirnya, makmal dibina atas padang, dibina di sekolah-sekolah yang tiada bekalan
elektrik dan ditempatkan di sekolah-sekolah yang kurang guru atau gurunya tidak terlatih
menggunakan ICT dan sebagainya. Objektif mereka hanya untuk siapkan makmal dan
mereka akan menyiapkan makmal tanpa mengambil kira faktor-faktor ini.
Misalnya di Kalabakan, ada sekolah yang diberikan komputer, tetapi kita dapati, ada
sekolah yang mempunyai sistem pendawaian yang usang dan tidak sesuai. Ada juga
sekolah yang tidak mendapat bekalan elektrik yang mencukupi kerana hanya mempunyai
generator berkuasa kecil.
Ada kalanya inisiatif-inisiatif ini bertindih dan menyebabkan pertambahan beban tugas
dan pembaziran. Paling ketara adalah latihan kemahiran ICT untuk guru-guru. Bukan
sahaja bahagian-bahagian di dalam KPM yang melaksanakan pelbagai jenis latihan,
malah pihak ketiga, seperti pemain industri, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan sekolah
turut melaksanakan latihan yang mungkin hampir serupa. Ini belum termasuk aspek
perisian kursus dan aplikasi yang digunakan di sekolah-sekolah.
Jadi dalam tempoh dua tahun ini kita berusaha untuk menyelaras dan mempakejkan
semula semua inisiatif ICT KPM, seperti yang utamanya, projek makmal komputer dan
pengkomputeran sekolah, program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), akses internet jalur lebar School-Net, pembangunan
perisian kursus, pusat akses, TV Pendidikan, termasuklah sekolah bestari telah kita
selaraskan dan kita pakejkan sebagai program pembestarian sekolah.
Dalam usaha untuk membestarikan semua sekolah ini, kali ini kita tidak mahu lagi bila
kita membina makmal, ia dibina di atas padang, di sekolah yang tiada bekalan elektrik
mencukupi, yang ada masalah pendawaian dan yang tiada guru berkemahiran dalam ICT.
Saya tidak mahu lagi inisiatif ICT yang ingin kita perluaskan ke sekolah-sekolah dilihat
secara terpisah-pisah. Saya mahu ia dipakejkan dengan baik dan disinergikan agar
impaknya terhadap pelajar, guru dan sekolah dapat dimaksimumkan.
Bagaimana pula 88 buah sekolah bestari? Apa yang Datuk Seri maksudkan sebagai
pemantapan dan penjenamaan semula 88 sekolah ini?
HISHAMMUDDIN: Seperti yang saya sering sebutkan, di dalam melaksanakan PIPP,
kita ada dua pendekatan, pertama untuk menyelesaikan tugas-tugas yang masih belum
selesai seperti untuk mengadakan akses, memastikan ekuiti, merapatkan jurang dan
sebagainya. Pendekatan kedua pula adalah untuk berusaha melonjakkan tahap
kecemerlangan sekolah dan institusi yang telah bersedia ke suatu tahap yang lebih tinggi
lagi agar dapat mengangkat imej sistem pendidikan negara di mata dunia.
Pembestarian sekolah jatuh di dalam pendekatan pertama, tetapi pemantapan 88 sekolah
bestari adalah datang dari pendekatan kedua.
Sekolah bestari adalah salah satu daripada tujuh Aplikasi Perdana (flagship) di dalam
Koridor Raya Multimedia (MSC) dan merupakan salah satu daripada inisiatif ICT utama
KPM. Projek rintis sekolah bestari dimulakan pada tahun 1999 hingga 2002 dengan
kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC). Memandangkan ia merupakan
salah satu dari aplikasi perdana MSC, maka kita tidak boleh gagal. Kita mesti
memastikan kejayaannya. Jadi perhatian yang berbeza perlu diberikan kepada 88 sekolah
ini.
Saya telah meminta MDeC menerajui usaha untuk memantap dan menjenamakan semula
88 buah sekolah ini. Usaha pemantapan dan penjenamaan semula ini penting atas dua
sebab, pertamanya supaya 88 sekolah ini dapat dijadikan model dan penanda aras
(benchmark) terhadap usaha membestarikan kesemua 10,000 sekolah.
Keduanya, melalui usaha pemantapan dan penjenamaan semula ini juga, diharapkan 88
buah sekolah bestari ini boleh dilonjakkan untuk dijadikan showcase dan rujukan kepada
masyarakat dunia.
Terdapat cakap-cakap bahawa 88 buah sekolah bestari tidak berjaya dan tidak mencapai
tahap yang disasarkan?
HISHAMMUDDIN: Sebenarnya ada di kalangan 88 buah sekolah ini yang berjaya dan
telah mencapai tahap yang kita tetapkan. Bagaimanapun saya rasa kita perlu berlaku adil
juga terhadap sekolah yang masih belum mencapai tahap yang kita inginkan.
Seperti yang kita sedia maklum, idea mengenai sekolah bestari timbul sekitar tahun 1995
dan kita telah merintis pelaksanaannya pada tahun 1999.
Teknologi pada masa itu berbeza dengan teknologi yang ada pada tahun 2007. Teknologi
lama inilah yang digunakan dalam penyediaan infrastruktur, perkakasan dan aplikasi
yang digunakan oleh sekolah-sekolah bestari ini.
Ketika itu juga negara sedang mengalami krisis mata wang. Disebabkan itu kebanyakan
sekolah rintis bestari tidak mempunyai infrastruktur yang sempurna dan perkakasan yang
mencukupi. Malah ketika ini, di sekolah-sekolah yang lebih lambat menerima bekalan
server dan komputer dari KPM mempunyai server dan komputer yang lebih baik
spesifikasinya dan lebih berkuasa.
Pada ketika itu juga belum diperkenalkan program pengurusan perubahan (change
management) untuk memastikan perubahan sepenuhnya budaya di dalam sekolah dan
penerimaan pembudayaan penggunaan ICT di sekolah.
Jelasnya, kita tidak boleh mengharapkan 88 buah sekolah ini berada sebaris dengan
teknologi usang dan perkakasan yang lebih terkebelakang dari sekolah-sekolah lain.
Jadi kita perlu re-visit dan meneliti semula setiap kelemahan serta kita perlu melihat trend
dunia ketika ini. Kita akan melihat dari pelbagai segi, termasuklah dari segi polisi,
sumber manusia dan kewangan. Selepas meneliti semula pelaksanaan sekolah bestari dari
segala sudut, termasuk trend terkini di negara- negara yang lebih maju, barulah kita boleh
mencari jalan untuk melonjakkannya ke hadapan.
Sekiranya untuk melonjakkan 88 buah sekolah ini kita memerlukan perubahan polisi, kita
akan mencadangkan perubahannya. Jika kita perlukan perubahan kepimpinan di sekolah
ataupun di kementerian, kita akan lakukannya. Jika kita memerlukan lebih peruntukan
untuk menaik taraf infrastruktur, perkakasan dan sebagainya, maka kita akan meminta
lebih peruntukan dari kerajaan. Yang penting, program ini mesti berjaya. Inilah yang
dimaksudkan tentang penjenamaan, pemantapan dan penanda arasan 88 sekolah bestari.
Dulu ada sekolah bestari dan sekarang sekolah kluster. Dengan wujudnya sekolah kluster
tidakkah ia menggugat pelaksanaan sekolah bestari?
HISHAMMUDDIN: Untuk tidak mengelirukan orang ramai, saya suka menerangkan
bahawa 88 buah sekolah bestari adalah sekolah-sekolah yang terpilih di dalam aplikasi
perdana MSC. Sekolah-sekolah ini tiada pilihan, melainkan mesti menjadi model
pelaksanaan pengintegrasian ICT yang boleh diikuti oleh semua sekolah yang lain di
dalam negara. Mereka juga tidak mempunyai pilihan kerana mereka juga akan menjadi
sekolah-sekolah yang hendak dijadikan showcase di peringkat antarabangsa. Bidang
mereka adalah pengintegrasian ICT.
Sedangkan dalam konsep kluster kecemerlangan, sekolah-sekolah ini diberi pilihan untuk
memilih niche areas yang diingini. Pentadbir-pentadbir sekolah ini juga diberikan
autonomi tertentu untuk melonjakkan kecemerlangan sekolah masing-masing ke tahap
dunia di dalam niche areas yang dipilih.
Sebenarnya ada di kalangan sekolah-sekolah bestari yang tersenarai dalam kluster
kecemerlangan. Misalnya dari kluster sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Alam
Shah dan Kolej Islam Klang.
Sekolah bestari bukan salah satu kluster di dalam kluster kecemerlangan yang terdiri dari
jenis sekolah, aliran dan juga lokasi di dalam sistem persekolahan kita seperti kluster
SBP, kluster sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), kluster sekolah menengah
teknik (SMT) dan beberapa kluster lagi seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
Jadi tidak timbul sama sekali soal persaingan. Sebaliknya, ada persamaan dari segi
pendekatan pelaksanaan kedua-duanya. Kedua-duanya jatuh dalam pendekatan kita yang
kedua dalam melaksanakan PIPP, iaitu untuk melonjakkan kecemerlangan institusi
pendidikan. Dalam hal ini, perhatian yang lebih khusus diperlukan dan pendekatan one
size fits all tidak boleh digunakan untuk memastikan kecemerlangan kedua-duanya.
PETKAN RENCANA DALAM UTUSAN MALAYSIA
08 APRIL 2007.
Ubah cara guru mengajar, murid belajar
BOLEH Datuk Seri jelaskan apakah ciri-ciri sekolah yang telah dibestarikan agar orang
ramai tahu sama ada sesuatu sekolah ini telah dibestarikan atau tidak?
HISHAMMUDDIN: Saya melihat ciri-ciri ini dari empat aspek. Pertama, dari segi
perkakasan, iaitu nisbah komputer kepada pelajar dan guru dan masa dedahannya, akses
internet jalur lebar dan rangkaian setempat (LAN) di dalam sekolah yang
menghubungkan semua perkakasan dengan infrastruktur yang dibangunkan. Kedua, dari
segi aplikasi dan perisian kursus yang dihantar ke sekolah. Ketiga, dari segi
pengintegrasian ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan keempat,
pengitegrasian di dalam pentadbiran dan pengurusan sekolah.
Melalui pelbagai inisiatif utama KPM, misalnya makmal komputer dan pusat akses,
diharapkan nisbah komputer kepada pelajar dapat dikurangkan kepada sekurangkurangnya
1:20 dari 1:40 dan masa dedahan pelajar terhadap komputer dapat
ditingkatkan. Melalui PPSMI, diharapkan juga agar nisbah komputer kepada guru dapat
dikurangkan kepada sekurang-kurangnya 1:2.
Semua sekolah yang dibestarikan mesti dirangkaikan dengan capaian internet jalur lebar
dan infrastruktur serta perkakasan di sekolah dirangkaikan secara setempat.
Guru-guru dan murid diharapkan mempunyai kemahiran mengintegrasikan pelbagai
bahan pendidikan dan perkakasan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran, manakala
pentadbir sekolah menggunakan ICT di dalam pengurusan dan pentadbiran.
Untuk mengukur tahap pembudayaan ICT di sekolah, MDeC diminta membangunkan
satu instrumen yang dikenali sebagai Smart School Qualification Standard (SSQS) dan
menggunakan sistem star ranking.
Sejauh mana kejayaan program pembestarian sekolah setakat ini?
HISHAMMUDDIN: Kementerian berusaha untuk membangunkan infrastruktur dan
membekalkan perkakasan ICT ke semua sekolah, menyediakan kemudahan capaian
Internet jalur lebar, membangunkan rangkaian setempat di dalam sekolah, mengadakan
program latihan, memasukkan elemen berkaitan ICT di dalam kurikulum,
memperkenalkan program ICT di peringkat prasekolah dan sebagainya.
Sehingga berakhir RMK-8, kita telah merangkaikan 97 peratus sekolah dengan akses
Internet jalur lebar. Bakinya adalah sekolah- sekolah yang tidak mempunyai bekalan
elektrik 24 jam dan tidak mencukupi. Kita juga telah membangunkan 4,500 buah makmal
komputer dan membekalkan 99,000 unit komputer ke sekolah-sekolah. Bagaimanapun
sehingga Disember tahun 2006, kita sudah ada 5,266 buah makmal. Bagi sekolah kurang
murid (SKM), kita akan mengadakan bilik komputer dan di sekolah-sekolah yang tidak
mempunyai ruang atau di pedalaman mungkin kita akan memperkenalkan konsep kabin.
Di samping itu sebanyak 1,584 pusat akses diadakan di sekolah-sekolah dan melalui
pusat ini sebanyak 15,840 unit komputer dibekalkan ke sekolah-sekolah yang terlibat.
Satu lagi perkara baru di dalam usaha kita membestarikan semua sekolah adalah dengan
menggunakan pendekatan baru di dalam penyebaran bahan-bahan TV Pendidikan.
Dengan memperkenalkan penyebaran bahan TV Pendidikan melalui penyiaran di
televisyen dan penggunaan teknologi TV web, hari ini guru dan pelajar boleh
memanfaatkan bahan-bahan TV Pendidikan secara ‘on-demand’. Dengan TV web ini,
tidak perlu lagi membawa murid-murid menonton TV Pendidikan, sebaliknya
menggunakan notebook, projektor dan skrin di dalam kelas. Dengan teknologi tanpa
wayar dan dengan kelajuan capaian Internet jalur lebar yang tinggi, bahan-bahan ini
boleh diguna dari dalam kelas secara terus. Bahan pengajaran dan pembelajaran boleh
disampaikan melalui penyiaran program secara langsung, wawancara, rencana, berita,
chat room, SMS, video conferencing dan sebagainya. Bahan- bahan yang disiarkan boleh
dimuat turun, disimpan dalam pelayan (server) atau sistem pengurusan pembelajaran
(Learning Management System).
Saya sekadar memberikan beberapa contoh dan ini belum termasuk pembekalan aplikasi
dan perisian kursus, latihan guru dan program pengurusan perubahan yang sedang
dilaksanakan di sekolah-sekolah.
Bila agaknya hasrat membestarikan semua sekolah tercapai?
HISHAMMUDDIN: Saya yakin kita dapat membestarikan semua sekolah KPM
menjelang tahun 2010 dari segi pembekalan perkakasan ICT. Dengan apa yang kita
bekalkan ketika ini melalui inisiatif ICT utama KPM yang saya sebutkan tadi, boleh
dikatakan hampir semua sekolah kita sudah dibestarikan. Bagaimanapun dari segi
pembudayaan ICT sepenuhnya, ia mungkin akan mengambil sedikit masa. Mungkin akan
berlaku sepenuhnya selepas tahun 2010.
Untuk melihat sama ada pelaksanaan inisiatif ICT yang sedang dilaksanakan oleh KPM
adalah bertepatan dengan keperluan pendidikan masa kini dan memastikan usaha
pembestarian kita sentiasa berada pada landasan yang betul, KPM telah melantik pihakpihak
ketiga untuk membuat kajian- kajian yang berkaitan. Misalnya kita telah melantik
sebuah syarikat juruperunding, iaitu MSCTC untuk melaksanakan audit ke atas semua
inisiatif dan program ICT yang telah dilaksanakan oleh KPM.
Begitu juga dengan kerjasama MDeC, melalui usaha pembestarian sekolah ini, kita
mempunyai banyak pengalaman yang boleh kita kongsikan dengan negara luar. Misalnya
dalam usaha merapatkan jurang pendidikan dan jurang digital antara kawasan bandar dan
luar bandar. Begitu juga di dalam pendidikan agama Islam dan program Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
Akhirnya, apakah hasrat dan matlamat yang ingin Datuk Seri capai melalui program
pembestarian ini?
HISHAMMUDDIN: Saya ingin melihat perubahan di dalam cara guru kita mengajar dan
cara anak-anak kita belajar. Saya mahu melihat melalui penggunaan ICT, terdapat
perubahan di dalam cara pentadbir di sekolah menguruskan sekolah dan menjadikannya
lebih cekap dan berkesan.
Dengan ICT, kita boleh mempercepatkan perubahan di dalam sekolah dan sistem
pendidikan kita. Dengan kurikulum yang betul dan apabila ICT diintegrasikan serta
dipasangkan dengan perkakasan, aplikasi, perisian dan latihan yang betul dan mencukupi,
saya berharap modal insan kita dapat dipersiapkan untuk berhadapan dengan cabaran
globalisasi dan era k-ekonomi.
Sebelum bulan ini berakhir, saya berharap kita dapat merumuskan polisi dan halatuju
baru 88 sekolah bestari dan program pembestarian sekolah. Kejayaan kedua-duanya
sangat penting kerana ia akan menentukan keupayaan Malaysia, lebih-lebih lagi apabila
kita akan berkongsi pengalaman kita ini nanti semasa menjadi tuan rumah mesyuarat
Southeast Asian Ministers of Education Organization (SEAMEO) di Malaysia pada tahun
2008 dan semasa Persidangan Menteri-Menteri Pendidikan Commonwealth di Malaysia
pada tahun 2009.
PETKAN RENCANA DALAM BERITA HARIAN
08 APRIL 2007.
Di Luar Lingkaran: Sayang anak, belikan komputer
Bersama Johan Jaaffar
zulujj@tm.net.my
Melayu berdepan krisis jurang digital jika ketinggalan dalam ICT
MEMANG kita harus mencurigai internet. Ia adalah sungai besar mengalir tanpa kawalan
yang boleh diakses sesiapa saja tanpa mengira usia dan latar belakang. Memang internet
membawa pelbagai bahaya dan ancaman. Tetapi kita harus mengakui apapun hasil
teknologi moden, memang membawa kesan sampingan yang tersendiri.
Pada satu majlis ceramah agama yang saya ikuti, seorang ahli panel mengingatkan
hadirin mengenai bahaya internet. Katanya, internet adalah ‘sungai kotor dan tercemar.’
Di dalamnya banyak maksiat, kejahatan dan keburukan.
Beliau berkata, internet merosakkan akidah dan boleh menjejaskan keimanan ummah.
Jauhi internet, begitu amaran beliau. Pada majlis soal jawab selepas itu beberapa orang
bertanya bagaimana kebaikannya, peluang ilmu dan tradisi kesarjanaan di dalamnya?
Penceramah itu menjawab dengan mudah – cari ilmu daripada buku dan sumber lain,
bukan daripada internet.
Kenyataannya tidak semudah itu. Memang internet adalah sungai maklumat yang
mengandungi pelbagai perkara – daripada yang sebaik-baik hingga yang seburukburuknya.
Kita tidak perlukan lesen untuk menimba sungai itu. Memang internet penuh
dengan caci nista, fitnah dan tuduhan tidak berasas juga bahan pornografi, selain pelbagai
maklumat untuk membuat apa saja – termasuk bom. Pada waktu sama, tidak semua buku
baik. Ada buku yang merosakkan, menjejas akidah dan mengajak pada keburukan.
Kenapa tidak dimanfaatkan internet sebaiknya? Mengapa tidak digunakan dengan
waspada dan memanfaatkan khazanah ilmu di dalamnya. Terasnya ialah pendidikan dan
pemahaman, juga kekuatan dalam diri. Jikalau kita boleh khayal dengan TV dan
peralatan elektronik moden, kita memang boleh khayal dengan apa yang dipaparkan
dalam internet.
Saya selalu ditanyakan bagaimanakah saya mendapat maklumat untuk menulis rencana
dalam kolum ini, juga di dalam akhbar New Straits Times setiap Sabtu. Memang saya
mempunyai perpustakaan peribadi yang relatif baik. Tetapi sekarang saya tidak perlu
menghabiskan banyak masa membuka buku rujukan. Apa yang perlu saya lakukan ialah
mendapat akses ke dalam internet, menggunakan enjin carian Google.com, dan meminta
apa yang saya perlukan.
Pada 3 Mac lalu, di dalam akhbar New Straits Times, saya menulis mengenai Martin
Scorsese yang dianugerahkan Pengarah Terbaik dalam Hadiah Akademi terbaru kerana
filem The Departed. Memang saya mempunyai beberapa buku mengenai pengarah ini.
Tetapi untuk mendapatkan filmografi beliau, saya hanya perlu masuk ke dalam
Google.com dan menaip ‘Martin Scorsese’. Dalam masa hanya 0.03 saat, 1.7 juta bahan
mengenai pengarah ini muncul. Saya hanya perlu memilih bahan yang saya perlukan.
Tidak lama dulu, saya menulis mengenai ‘jihad’ yang kini menjadi perkataan yang
ditakuti Barat dan musuh Islam. Saya menaip ‘jihad’ dan dalam masa 0.05 saat, saya
berdepan dengan 15.3 juta bahan mengenainya.
Semua bahan dalam bahasa Inggeris itu hanya dalam enjin carian Google.com saja. Itu
belum lagi misalnya dalam Yahoo dan lain-lain. Bayangkan betapa cepat dan mudahnya
maklumat ini sampai pada kita. Semua percuma.
Satu perkara yang tidak harus kita lupa ialah bukan semua bahan dan maklumat itu betul.
Memang ‘jihad’ akan dilihat dalam pelbagai konteks bergantung pada cara dan kaedah
penulis mentafsirnya. Memang perkataan seperti itu boleh menimbulkan banyak salah
faham. Kita yang sepatutnya membuat penilaian memilih mana yang betul dan salah,
serta membuat pertimbangan sewajarnya untuk menentukan baik buruknya.
Jikalau anda menaip ‘Malaysia’ dalam Google.com anda akan mendapat 207 juta bahan
mengenainya; taip ‘Islam’ anda memperoleh 86 juta bahan; ‘peradaban Islam’
memberikan 1.3 juta bahan; ‘serangan jantung’ memberikan 46 juta bahan; ‘Palestin’
lebih 47 juta bahan; kelab bola sepak ‘Manchester United’ lebih 51,000 bahan; ‘Kuala
Lumpur’ 9 juta bahan; ‘pisang’ 49 juta bahan; ‘perbankan Islam’ 1.5 juta bahan; ‘Proton’
28.5 juta bahan; ‘Umno’ 1.1 juta bahan dan ‘Pas’ 37,500.
Anda pernah mendengar nama kampung saya, Sungai Balang Besar, Muar, Johor? Taip
‘Sungai Balang’ dan Google.com memberikan 513 bahan. Anda mahu tahu berapa
banyak rujukan mengenai Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Besar Perlis dalam
Google.com? Lebih 12,000.
Bayangkan kerugiannya jika kita tidak memanfaatkan internet. Dunia ilmu sudah berubah
akibat teknologi maklumat (ICT) dan internet ialah produk ICT yang amat penting. Saya
tidak perlu mengingatkan bahawa banyak urus niaga di dunia ini yang dijalankan melalui
internet. Malah sebenarnya e-dagang adalah fenomena yang mulai mengubah cara urus
niaga global hari ini. Urus niaga dalam internet berlipat ganda sejak beberapa tahun
kebelakangan ini. Ambil saja contoh E-Bay yang menjual barang lelong bernilai lebih
RM155 bilion tahun lalu, jumlah itu sebenarnya tiga perempat daripada Bajet Rancangan
Malaysia Kesembilan!
Internet juga memberikan satu wahana baru – kelahiran blog atau weblog. Ini adalah
posting yang dibina untuk dibaca orang ramai. Pengendali atau pemiliknya – yang
dikenal sebagai bloggers – akan menulis di dalam blog mereka. Pengguna internet
menghabiskan banyak masa membaca blog hari ini. Malah blog mulai menjadi ancaman
bukan saja pada tradisi membaca buku tetapi akhbar arus perdana. Sekali lagi bukan
semua pengendali blog atau bloggers boleh dipercayai atau berkredibiliti. Soalnya
internet menjanjikan demokrasi dengan cara yang luar biasa. Internet memberikan kuasa
demokratik kepada pengguna. Mereka membuat pilihan sendiri dengan cara mereka.
Proses pendemokrasian internet ini terlihat dalam bentuk ilmu juga. Selama ini fahaman
kita mengenai ensiklopedia ialah berjilid-jilid buku rujukan, tebal dan sukar diakses dan
mahal harganya. Hari ini, internet memberikan kita Wikipedia yang menjadi ensiklopedia
percuma. Lebih menarik lagi, bahan ensiklopedia ini boleh disumbangkan sesiapa saja.
Anda boleh mencadangkan entri dan membetul atau menambah entri. Sekali lagi, internet
memberikan peluang baru kepada penggunanya. Ilmu dan tradisi keilmuwan bukan milik
eksklusif ilmuwan dan sarjana. Anda juga boleh menyumbang ke arah pembinaan ilmu.
Maka itu saya amat khuatir jika anak Melayu ketinggalan dalam soal ICT dan
penguasaan internet ini. Krisis terbesar masa depan ialah wujudnya apa yang disebutkan
jurang digital atau digital divide. Keadaan ini akan menentukan pula penguasaan ilmu
dan kekayaan. Dipendekkan cerita jurang digital akan membawa kesan yang lebih buruk
daripada ketidaksamarataan pendapatan atau isu kemiskinan. Malah kemiskinan dan
dispariti pendapatan masa depan akan dicorakkan oleh jurang digital ini.
Saya gembira kerana Kementerian Pelajaran memberikan perhatian serius soal yang
membabitkan ICT di sekolah. Program pembestarian sekolah adalah program berterusan
untuk tujuan pendedahan ICT ini. Di dalam buku Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(PIPPP) ada bab berjudul ‘Merapatkan Jurang Pendidikan’. Kementerian cuba menangani
isu jurang digital dengan menyediakan lebih banyak makmal sekolah dan pusat akses
komputer serta menambah prasarana melalui rangkaian School/Net berjalur lebar.
Tetapi kita tidak harus melupakan peranan ibu bapa dalam soal ini. Saya bimbang ibu
bapa Melayu banyak mengambil mudah soal ini. Mereka cukup liat untuk melengkapkan
rumah mereka dengan komputer. Mereka menganggap ada keutamaan lain selain
membelikan komputer untuk anak – misalnya mereka lebih mengutamakan membesarkan
rumah, membeli kereta baru atau barang kemas berharga. Apabila Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (EPF) memulakan skim pinjaman komputer, skim itu disalahgunakan
sebahagian besarnya ibu bapa Melayu.
Saya menyokong program ‘Sebuah Komputer Setiap Rumah’. Saya juga percaya pada
inisiatif yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ‘One Laptop Per
Child’ yang digerakkan Pengarah Makmal Media di Institut Teknologi Massachusetts
(MIT), Nicholas Negroponte. Saya juga ingin mencadangkan setiap Ahli Parlimen dan
Ahli Dewan Undangan Negeri mewujudkan pusat komputer sebanyak-banyaknya di
kawasan mereka. Pada waktu sama, unit politik dan sosial pada peringkat akar umbi,
harus mewujudkan rangkaian komputer ini.
Ingatlah, anak Melayu akan ditinggalkan teknologi dan ilmu jika mereka tidak
dilengkapkan kemahiran menguasai komputer dan internet. Sayangkan anak, belikan
komputer, itulah nasihat saya.

No comments:

Post a Comment